Thursday, July 16, 2009

Pendahuluan

PENDAHULUAN

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara ini pada waktu itu.

Selepas pembubaran MAGERAN, Majlis Penasihat Perpaduan Negara telah ditubuhkan iaitu pada 23 Februari 1971. Tanggungjawab bagi memupuk dan memelihara perpaduan di antara kaum di negara ini terus diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara. Di antara 1990 – 2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat sebelum diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan nama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

OBJEKTIF

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang sosio-ekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta integrasi nasional. Dasar-dasar yang dimaksudkan termasuklah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar-dasar tersebut telah diperkukuhkan lagi dengan memperkenalkan ‘Rukun Negara’ sebagai ideologi kebangsaan dan usaha-usaha bagi mengurangkan tindak-tanduk politik boleh memecahbelahkan rakyat menerusi pembentukan ‘Barisan Nasional’. Sebagai tindakan susulan dalam memperlengkap dan memperkukuhkan usaha pembentukan Bangsa Malaysia, beberapa dasar lain telah dibentuk. Antaranya ialah Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Sosial Negara. Pendirian Kerajaan telah ditegaskan lagi dalam pernyataan Wawasan 2020 seperti berikut:

‘Malaysia tidaklah harus menjadi negara yang maju dari segi ekonomi semata-mata tetapi perlu merangkumi semua aspek. Kita hendaklah mencapai kemajuan sepenuhnya dari segi perpaduan negara dan kesepaduan sosial, ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, mutu kehidupan, nilai-nilai sosial dan kerohanian, selain mempunyai rasa bangga dan keyakinan akan bangsa sendiri.’

Menjelang tahun 2020, Malaysia harus menjadi negara yang bersatupadu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan, nilai moral dan etika yang kukuh, hidup secara demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil serta mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang berdaya saing.

DIFINISI

Bagi memahami secara lebih jelas tentang program-program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta isu-isu perpaduan dan integrasi nasional, beberapa konsep dan istilah yang berkaitan perlu difahami.

Perpaduan Negara

Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.(Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)

Integrasi Nasional

Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.(Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991)

Bangsa Malaysia

Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.

RUKUN TETANGGA

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.

Sehingga Mei 2006 sebanyak 3,228 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan diseluruh negara. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Dari bulan Januari hingga Mei 2006 Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 36,029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Tujuan Mewujudkan KRT Taman Kajang Sentral

Menyemai dan memupuk semangat serta nilai-nilai kejiranan dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Ia dijalankan menerusi aktiviti pembangunan komuniti dan pendidikan prasekolah seperti Rukun Tetangga dan Tabika.

Memupuk semangat serta nilai-nilai perpaduan di kalangan masyarakat bagi mencapai matlamat satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Dilaksanakan menerusi aktiviti pembangunan komuniti, kemasyarakatan dan pendidikan pra-sekolah melalui institusi Skim Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan.

Memajukan, membangunkan atau menyenggara atau yang sesuai bagi pemajuan, pembangunan atau penyenggaraan :-

o Kejiranan, muhibah, kerjasama, harmoni dan kepercayaan dan keyakinan bersama di kalangan pemastautin kawasan ; dan

o Kebajikan, kesentosaan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pemastautin-pemastautin kawasan

Penubuhan KRT Taman Kajang Sentral

Satu Surat Permohonan telah dihantar pada January 2008

Encik Abdul Khalid bin Haji Ujang
Pegawai Perpaduan Daerah
Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat
Tingkat 3, Kompleks Pentadbiran Daerah Hulu Langat
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan

Tuan,

PERMOHONAN UNTUK MENUBUHKAN KAWASAN RUKUN TETANGGA TAMAN KAJANG SENTRAL, 43000 KAJANG SELANGOR

Adalah saya dengan hormatnya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa, Taman Kajang Sentral merupakan satu kawasan perumahan yang telah diduduki hampir (7) tujuh tahun yang mempunyai keluasan 30 hektar. Memandangkan penghuni taman ini telah ramai dan terdapat banyak permasalahan yang telah berlaku. Maka kami terpanggil untuk menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga bagi menyahut seruan kerajaan di dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum serta dapat menjaga keselamatan kawasan perumahan di taman ini.

3. Sehubungan dengan itu, kami memohon jasa baik tuan untuk mewujudkan Kawasan Rukun Tetangga di kawasan taman ini. Diharap mendapat perhatian dan pertimbangan daripada tuan. Bersama-sama ini dikepilkan juga pelan taman untuk makluman tuan.

Kerjasama, pertimbangan serta kelulusan tuan amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih jua.

Sekian.

”JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT”


Saya yang menurut perintah,



( ARSHAD BIN ARBEIAM )
Ketua Jawatankuasa Penaja
Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga Taman Kajang Sentral